Aktiviti 2000-2005

AKTIVITI TAHUN 2000-2005

Malaysia boleh

  Wanita Boleh

Dalam usaha menghangatkan penyertaan warga Malaysia, khasnya golongan wanita dalam bidang menjahit; Epal telah aktif menganjurkan pelbagai program di peringkat kebangsaan dan telah mendapat liputan menyeluruh dari media massa dan media cetak. Antara projek yang telah dijalankan dengan jayanya termasuklah:

Kempen Kesedaran Menjahit: Kempen ini dijalankan dengan cara menganjurkan kursus menjahit percuma kepada kaum wanita khususnya di kawasan luar Bandar. Ia dijalankan secara rumah ke rumah, di balai raya, hotel-hotel terkemuka dengan kerjasama persatuan dan pertubuhan politik. Pihak Epal berperanan menaja mesin jahit dan tenaga pengajar, sementara pihak penganjur telah menyediakan tempat dan mengumpulkan ahli-ahlinya.

Kempen Membantu Pelarian Afganistan (2001): Selepas berlakunya peristiwa 911, warga Afganistan telah menjadi mangsa serangan Amerika. Epal telah bekerjasama dengan Perkep (Persatuan Keluarga Polis, Polis Diraja Malaysia) untuk menjahit selimut sebagai suatu sumbangan amal untuk didermakan kepada pelarian yang bakal menghadapi musim sejuk. Kempen ini telah dipengerusikan oleh Pn. Sri Rokiah Ismail (Pengerusi PERKEP) pada 31hb Oktober 2001.

Kempen Wanita Malaysia Boleh (2000): Kempen ini telah dirasmikan oleh Bekas Menteri Perpaduan Negara, selaku Pengerusi LPPKN, Datin Paduka Zaleha Ismail di Stadium Negara dan disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Padikar Amin Bin Hj Mulia. Seramai 510 peserta dari pelbagai persatuan dan daerah telah menyertai pertandingan menjahit bag tangan wanita. Projek ini telah disenaraikan dalam Buku Rekod Malaysia sebagai kumpulan menjahit yang terbesar di Malaysia.

Kempen Masih Ada Yang Sayang (2005): Kempen ini telah dijalankan pada Februari 2005 – Ogos 2005 di seluruh Malaysia termasuk Sabah. Antara lokasi yang menganjurkan kempen ini adalah Kota Kinabalu, Keningau, Ranau, Sandakan, Tawau, Lahad Dato dan Labuan di Negeri Sabah, manakala di Semenanjung adalah: Johor, Seremban dan Kuala Lumpur. Matlamat dan objektif kempen ini adalah untuk mengumpul derma daripada orang ramai dan wang yang dikutip akan didermakan kepada Persatuan Barah Malaysia untuk menolong golongan yang kurang bernasib baik dan memerlukan kasih sayang dan perhatian orang ramai.

Mencatat Buku Rekod Malaysia (2002): Rekod ini telah berjaya menghasilkan 5008 beg tisu dalam masa satu setengah jam. Seramai 759 ahli VIP bersama ahli keluarga telah melibatkan diri dalam projek ini. Majlis ini telah dirasmikan oleh Yang Berhormat Datuk Dr. Siti Zaleha Ismail, Menteri Pembangunan Sosial dan Perpaduan Negara. Hasil jahitan telah dijual dan wang yang diperolehi didermakan kepada badan-badan kebajikan. Ini adalah kali kedua Epal mencatat nama dalam Buku Rekod Malaysia.

Kempen Tentera Jiwa Waja Berjiwa Seni (2002): Projek ini telah dijalankan dengan usahasama Pasukan Tentera sempena dengan Hari Tentera 2002. dalam projek ini, askar wanita telah diberi pendedahan tentang seni menjahit dan masing-masing telah berjaya menyiapkan projek yang telah dimandatkan.

Kempen Kerjaya Menjahit Untuk Orang-Orang Cacat: Kempen ini telah dijalankan dengan kerjasama Pertubuhan Orang-orang Cacat Wilayah Persekutuan. Mereka yang cacat mempunyai prospek yang cerah dalam bidang kesenian amnya, dan jahitan khasnya. Hasil dari program ini, ramai orang-orang yang cacat anggota telah mengambil ikhtibar untuk mendirikan kerjaya menjahit mereka.

Pertandingan Menjahit Kraftangan: Beberapa siri pertandingan telah dijalankan dengan jayanya dan ramai peserta telah menonjolkan bakat dan kebolehan mereka. Pertandingan ini terbuka kepada orang ramai dan hadiah-hadiah yang lumayan telah disediakan.

Program Keabadian Kasih Sayang Melalui Pendidikan (2004): Program ini telah berlangsung pada 27-29 Februari 2004 di Kompleks Karamunsing, Kota Kinabalu, Sabah dan dirasmikan oleh Toh Puan Datin Seri Panglima Hajah Dayang Masuyah Bte Awang Japar. Matlamat program ini adalah untuk mengumpulkan wang daripada orang ramai untuk mengadakan perpustakaan kecil di tempat-tempat yang terpencil di Sabah untuk membeli kemudahan seperti buku, meja, kerusi dan sebagainya. Pihak Mostwell Sdn. Bhd. telah mengupah seorang wakil bagi setiap kawasan yang dipertanggungjawabkan untuk menganjurkan pelbagai aktivit seperti pertandingan melukis, bercerita, mengeja dan lain-lain agar kanak-kanak di sana mendapat manfaat. Program ini akan dijalankan seluruh Sabah dan Semenanjung.